Penyeludup akan melakukan apa sahaja helah untuk membawa masuk bahan berkenaan termasuk menggunakan laluan tikus. Difahamkan, sejak awal Ramadan lalu, sebanyak 10 kes rampasan bunga api dan mercun direkodkan dengan nilai RM162,081.

Selasa lalu, kastam juga merampas 164 kotak bunga api dan mercun pelbagai jenis dari Thailand yang bernilai RM225,239 termasuk cukai. Mercun dan bunga api yang dirampas itu adalah Happy Boom, Thunder King, Thunder Clap Rockets dan mercun bola.

Terdapat beberapa jenis mercun yang diharamkan seperti mercun papan, Thunderclaps dan Dragon Eggs. Ada mercun yang tidak berbahaya tetapi akibat kreativiti melampau, bahan itu akhirnya memudaratkan. Walaupun nilai rampasan tidak melibatkan jutaan ringgit, tetapi yang penting ialah kejayaan merampas bahan-bahan itu.

Bagi Awang, kejayaan rampasan itu bukan semata-mata kerana mengelakkan cukai sebaliknya ia berjaya menghalang bahan yang berpotensi mencederakan itu sampai ke tangan orang awam terutama golongan remaja. Ramai mangsa mercun dan bunga api serik dan menyesali perbuatan mereka selepas mengalami kece­deraan. Mereka mengakui mercun itu amat berbahaya.

AWANG – Tonton bunga api awal tahun.