Diharapkan setiap pesara dan keluarga mereka akan mendapat manfaat terutama melibatkan peruntukan RM3 juta setiap tahun untuk Tabung Amanah Warisan Polis bagi tempoh selama tiga tahun. Begitu juga kemudahan penyaluran bantuan menerusi Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis.

Bagi yang beragama Islam, kuota khas haji turut membuka peluang yang lebih baik untuk memenuhi hasrat pesara yang belum menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Turut melegakan apabila kerajaan menawarkan sebahagian daripada 10,000 unit skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)-PDRM.

Mungkin ketika ini ramai pesara yang belum memiliki rumah sendiri disebabkan tidak mampu membeli semasa berkhidmat. Ada juga yang ketika dalam perkhidmatan lebih selesa tinggal di kuarters atau menyewa. Diharapkan peluang ini belum terlewat.

Awang juga berharap penyusunan semula Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis dan pembukaan cawangannya di setiap ­negeri akan memudahkan penyaluran bantuan kepada pesara. Paling penting, jangan ada mana-mana pesara yang terasa mereka dipinggirkan. Pihak berkenaan perlu melakukan pemantauan berterusan, tidak terhenti setakat hari ini sahaja. Turunlah ke lapangan untuk mendekatkan diri dengan pesara-pesara ini.

AWANG – Pesara tanpa pencen.