Seperti yang dilaporkan secara eksklusif oleh akhbar Awang semalam, penjawat awam yang ‘kaki rasuah’ kini berada di bawah radar badan penguatkuasaan itu. Maknanya kegiatan tidak bermoral mereka sedang dipantau secara dekat dan Awang percaya selepas cukup bukti, individu terlibat akan diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Mengikut laporan itu lagi amalan rasuah oleh penjawat awam kini bukan sahaja melibatkan projek bernilai kecil tetapi mence­cah jutaan ringgit. Kelompok ini juga tidak lagi malu-malu melakukannya sembunyi-sembunyi bahkan secara terbuka. Lebih teruk lagi terdapat tiga kategori rasuah iaitu secara kerjasama, kroni dan paksaan.

Apa akan jadi kepada negara jika gejala meminta rasuah dalam kalangan penjawat awam ini didiamkan dan tidak diambil tindakan sewajarnya? Apa kesannya kepada hasil negara dan projek-projek kerajaan yang dirancang untuk rakyat? Awang tidak sanggup hendak membayangkannya.

Sebab itu Awang percaya seluruh rakyat yang antirasuah menyokong penuh usaha SPRM untuk memberkas penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa untuk mengaut kekayaan peribadi. Puak pemakan rasuah ini tidak harus sama sekali diberi muka.

AWANG – Jerung atau bilis kaut sekali!