Penyebaran hadis palsu memerlukan pemantauan berterusan.Peranan ini boleh dilakukan dengan setiap lokasi ceramah se­perti masjid dan surau mempunyai tenaga pakar yang benar-benar dapat membezakan hadis sahih, hadis hasan, hadis daif dan hadis mauduk. Golongan ini boleh menyanggah serta merta sekiranya huraian penceramah berdasarkan kepada hadis palsu.

Langkah itu dapat mengelakkan khalayak terdorong mempercayai serta melakukan amalan yang salah. Ketika ini pun, banyak hadis palsu yang dikaitkan dengan beberapa amalan masyarakat Islam yang ditokok tambah sehingga menimbulkan kekeliruan.

Penularan hadis palsu itu berlaku melalui media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan YouTube. Sasarannya ketika tahun baharu Hijrah, Maulidur Rasul, bulan Safar, Ramadan dan Asyura.

Awang lebih bimbang penularan hadis palsu melalui media sosial kerana mereka yang jahil akan menyebarkannya tanpa usul periksa. Justeru, janganlah ada pihak yang membuat tafsiran sendiri bahan-bahan sumber hukum sehingga mencetuskan suasana tidak baik dalam kalangan masyarakat. Lebih berbahaya jika hadis palsu akan menyesatkan akidah masyarakat terutama yang tidak berilmu.

AWANG – Rujuk pakar hadis.