Seperti mana kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga akan turut serta memberi ucapan dalam perhimpunan besar-besaran tersebut.

Ini bukanlah kali pertama kedua-dua pemimpin itu berada sepentas dalam memperjuangkan isu umat Islam sejagat. Sebelum ini mereka juga pernah bersama-sama dalam menyatakan pendirian terhadap kekejaman yang dilakukan oleh tentera Myanmar ke atas umat Islam Rohingya.

Oleh itu, Awang berharap sikap kedua-dua pemimpin ini akan dicontohi oleh seluruh umat Islam. Perhimpunan yang bakal diadakan bukan bermotifkan politik tetapi lambang solidariti bagi menyampaikan suara umat Islam negara ini terhadap kebiadaban AS.

Tindakan negara kuasa besar itu mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel adalah pencabulan hak asasi manusia dan ini akan menyebabkan rejim Zionis akan bertindak lebih kejam ke atas rakyat Palestin.

Justeru marilah kita bangkit bersama-sama. Nyatakanlah bantahan kita terhadap perbuatan biadab Presiden AS, Donald Trump - seorang individu yang sudah membuktikan beliau adalah tali barut Israel dalam menindas rakyat Palestin.

AWANG - Sentiasa berdoa untuk Palestin.