Ekoran itu, awal pagi semalam, dua daripada tiga lelaki yang diburu bagi membantu siasatan kes itu, sudah ditahan polis. Mereka disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh binatang.

Entah apa salah dan dosa yang membuatkan makhluk ciptaan Tuhan yang diberikan peluang hidup di atas bumi amat luas ini, diperlakukan begitu oleh manusia yang sepatutnya sempurna akalnya berbanding binatang. Jika bukan pencinta haiwan pun, janganlah menyeksa binatang. Biarkan saja. Tidak payah dikacau atau disakiti.

Awang masih ingat lagi, pada Ogos lalu seorang remaja perem­puan dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang kerana menendang seekor kucing, Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (semakan 2006) (Akta 647), namun dikenakan hukuman mengikut Sek­syen 91(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 601) kerana di bawah umur.

Bagaimana dengan pembunuh kucing? Awang harap pelaku akan mendapat balasan setimpal. Sebelum ini, sudah banyak kali kita mendengar haiwan peliharaan kucing kebanyakannya dibunuh de­ngan diracuni jiran, dipotong kaki atau disimbah air panas. Sudah tiba masanya perlakuan kejam ini diketengahkan.

Pihak yang melihat pun jangan sekadar rakam dan tularkan. ­Kegilaan ini harus dihentikan serta-merta!

AWANG – Pencinta haiwan.