Apapun sekarang bukanlah masa untuk kita menuding jari menyalahkan sesiapa. Apa yang lebih penting adalah menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan punca kejadian.

Namun begitu tidak salah jika Awang menggesa pihak berkuasa untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua pusat tahfiz di negara ini. Tidak kira sama ada yang terletak di bandar mahupun luar bandar.

Hakikatnya, kita sudah bosan apabila mendengar kenyataan yang mahu tahap keselamatan di sekolah-sekolah agama dan pusat tahfiz dikaji. Ini memandangkan seruan seumpama ini hanya wujud apabila tragedi berlaku, selepas itu sepi begitu sahaja.

Oleh itu, sementara kita amat bersedih dengan apa yang berlaku tetapi pada masa sama sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan tragedi berulang. Sememangnya sesuatu kejadian yang berlaku adalah takdir Allah, tetapi pada masa sama Allah juga mahu kita berusaha mengubah nasib kita sendiri.

Justeru sekali lagi Awang ucapkan takziah kepada seluruh ahli mangsa terlibat dan semoga mereka tabah menghadapi dugaan Allah yang maha hebat ini.

AWANG – TAKZIAH.