Selepas pengalaman mesyuarat pertama, sudah pasti kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat memperbaiki kelemahan yang berlaku. Menteri-menteri Kabinet yang merupakan barisan muka baharu telah belajar daripada pengalaman lalu. Mereka tentu lebih yakin pada kali ini.

Tumpuan mesyuarat kali ini adalah kepada pembentangan Bajet 2019, belanjawan sulung kerajaan PH selepas mengambil alih pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN) yang berkuasa selama lebih 60 tahun. Begitu juga pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas.

Rakyat sama ada yang menyokong PH atau BN mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk mereka walaupun kerajaan mendakwa terpaksa menanggung beban hutang yang besar. Rakyat menagih janji-janji yang dibuat. Biar apa pun alasan, kesejahteraan rakyat tidak boleh diabaikan.

Wakil rakyat BN juga diharap akan turut memperbaiki peranan sebagai pembangkang, supaya lebih konstruktif.Walaupun jumlah mereka semakin berkurangan tetapi peranan bersama Pas amat besar. Berbahaslah dengan fakta yang lebih baik ketika membahaskan Bajet 2019.

Awang juga menaruh keyakinan wakil rakyat dapat memberi idea dan pandangan bernas ketika membahaskan beberapa usul. Ramai yang ingin melihat kesudahan isu pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan undang-undang yang mengenakan hukuman gantung sampai mati.

AWANG – Permatang Pauh ke PD