BN khususnya UMNO perlu menjadikan kejatuhan itu sebagai satu pengajaran. Anggaplah ia sebagai satu ujian untuk melihat sejauh mana ketabahan anggota parti yang selama ini berada dalam keadaan cukup selesa.

Seluruh anggota parti perlu melupakan kedukaan dan kekecewaan yang sedang melanda walaupun ia suatu pengalaman yang amat pahit dalam sejarah parti itu sejak dilahirkan. Gerak kerja berpasukan perlu dipertingkatkan lagi.

Jika perlu lakukan penyusunan semula parti supaya ia mampu berdaya saing dalam medan politik yang mencabar ini. Biarlah mereka yang tidak tahan ujian ini melangkah pergi kerana itu sudah lumrah politik. Ingatlah tidak semua yang terjun meninggalkan kapal yang sedang karam akan selamat. Begitulah sebaliknya.

Awang ingin menarik perhatian bahawa semua parti politik pernah mengalami kekecewaan tetapi ia tidak bermakna, perjuangan perlu ditamatkan. Parti-parti yang kini mewakili Pakatan Harapan juga pernah tewas tetapi mereka bangkit sehinggalah melakukan kejutan baru-baru ini. Justeru, usah bersedih lagi.

AWANG - Tetap tabah.