Anak-anak Melayu Islam terus menjuarai jumlah penagih. Lihatlah perangkaan polis pada 2014 sehingga Mei lalu menunjukkan, sebanyak 71 peratus penagih adalah Melayu dan 41 peratus berumur antara 14 hingga 29 tahun. Anak-anak muda yang sepatutnya menimba ilmu di institusi pengajian tinggi dilemahkan dengan dadah dan menghuni pusat sehenti atau penjara.

Kos ‘sara hidup’ setiap penagih di penjara pula sebanyak RM35 seorang. Bayangkan kos sehari, sebulan dan setahun dengan jumlah banduan dadah sebanyak 33,791 orang.

Turut merisaukan apabila sindiket antarabangsa berani menjadikan Malaysia yang mulanya negara pengguna sebagai negara transit. Begitu juga kemasukan dadah sintetik seperti syabu. Le­bih mendukacitakan, Malaysia mampu menjadi negara pengeluar berikutan penemuan makmal memproses dadah.

Awang percaya isu ini tidak akan selesai tanpa komitmen dan kerjasama semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan masyarakat. Jihad memerangi dadah ini perlu diteruskan. Perangi dadah yang merosakkan anak-anak kita.

AWANG - Sokong jihad demi kebaikan.