Sementara Awang mengucapkan tahniah kepada Mohamad yang turut berjaya memimpin Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan dalam tiga PRK berturut-turut, Awang juga berpendapat, ada pengajaran di sebalik semua PRK tersebut.

Pengajaran paling berharga ialah jangan sesekali memungkiri janji kepada rakyat yang mempunyai ‘kuasa keramat’ untuk memastikan kemenangan atau kekalahan sesebuah parti. Rakyat pasti akan bangkit menolak parti terlibat dan tidak akan mempercayai parti itu biar apapun yang dijanjikan ketika kempen.

Selain itu, Rantau juga ‘memberi peringatan’, jangan sesekali memainkan isu perkauman dalam berkempen sehingga boleh membangkitkan kemarahan kaum lain. Awang yakin bukan sahaja di DUN tersebut malah di kawasan lain juga politik seumpama itu tidak akan diterima, apatah lagi jika ia dilakukan oleh mereka yang menuduh kerjasama parti lain sebagai perkauman.

Turut boleh dijadikan pengajaran ialah hentikanlah politik tohmahan, fitnah dan menyerang peribadi. Ia sama sekali tidak akan memberi faedah kepada parti yang bertanding. Sepatutnya bentanglah agenda untuk kesejahteraan rakyat bukan membangkit isu yang menimbulkan rasa muak pengundi. Sesungguhnya banyak pengajaran di Rantau, jika parti-parti mahu mengambil iktibar.

AWANG - Tukang lapor, tukang tegur.