Azizulhasni menanti selama 10 tahun untuk muncul sebagai juara dunia dan dapat menyarung jersi pelangi yang menjadi impian pelumba-pelumba basikal dunia. Tidak kiralah berapa lama beliau mengambil masa untuk bergelar juara, yang penting Azizulhasni telah meraihnya untuk negara.

Sememangnya, kita semua sentiasa mahu dan mengharapkan agar sukan di negara ini mendapat pengiktirafan di peringkat ­antarabangsa dan dunia. Malangnya, kita sering dibelenggu dengan isu prestasi turun naik tidak menentu pasukan atau atlet negara dan akhirnya nama mereka hanya menjadi sebutan atau gah di dalam negara sahaja.

Dalam pada itu, perbalahan dan krisis dalaman dalam persatuan-persatuan sukan turut memburukkan lagi keadaan. Sedangkan apa yang kita mahu lihat adalah pencapaian sukan tersebut bukan persengketaan yang merugikan semua pihak dan negara.

Bagi Awang, kesuraman dan kemarau kemenangan apa jua acara sukan di negara ini di peringkat antarabangsa perlu ditangani dengan kerja keras dan semangat kesukanan yang tinggi. Azizulhasni dan beberapa jaguh sukan negara sebelum ini telah membuktikannya di persada dunia. Siapa lagi selepas ini? Mungkin giliran pasukan bola sepak negara?

AWANG – Percaya pada semangat Malaysia Boleh!