Rasuah bukan sekadar dalam bentuk wang ringgit atau hadiah tetapi penyalahgunaan kedudukan, jawatan serta tuntutan palsu. Tujuannya juga pelbagai. Jika diperhalusi definisi rasuah, kemungkinan setiap seorang tidak terlepas daripada rasuah. Sikap materialistik, ingin cepat kaya dan berjaya melalui jalan pintas mendorong perlakuan rasuah.

Justeru, kesedaran memerangi rasuah melalui pendidikan amat penting di samping peranan 'orang dewasa’ menunjukkan teladan menolak sebarang unsur-unsur rasuah. Pemimpin perlu tegas, telus dan adil supaya orang di bawah tidak terdorong melakukan rasuah.

Bagi orang Islam, kekuatan iman amat penting supaya mereka kenal erti pahala dan dosa sekiranya terjebak dengan tindak tanduk berunsur rasuah. Ingatlah rasuah bukan sahaja mewujudkan masalah sosial tetapi juga memudahkan musuh 'menceroboh’ negara.

Awang sedar bukan tugas mudah untuk membanteras rasuah yang sudah berakar umbi. Pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk menjadikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta penubuhan Institut Integriti Malaysia. Hukuman juga seolah-olah gagal mendidik. Penyelesaiannya terletak kepada orang ramai supaya setiap daripada mereka mempunyai perasaan membenci rasuah.

AWANG – Takut tumbuk rusuk.