Bagi mengisi hari raya, teruskanlah tradisi kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi. Kukuhkan semangat ukhuwah yang mungkin tercalar selepas Pilihan Raya Umum Ke-14. Jika pilihan raya menjadi medan pertelingkahan pendapat dan sebagainya, jadikan hari lebaran medan untuk bermaaf-maafan.

Lupakan sengketa politik, runtuhkan tembok prasangka dan persepsi yang tidak baik. Bersihkan hati dari segala kekotoran dan perasaan buruk sesama insan. Bertautlah kembali umpama biduk lalu kiambang bertaut.

Bersyukurlah kerana kita dapat meraikan Aidilfitri tanpa rasa takut dan bimbang. Insaflah masih ramai saudara-saudara kita yang tidak tenang kerana terjebak dalam pelbagai krisis dan pe­perangan yang mengorbankan jiwa dan harta benda.

Awang juga sekali lagi menasihatkan para pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati. Berazamlah untuk sampai ke destinasi dengan selamat supaya dapat berhari raya bersama keluarga. Jadilah pemandu yang bertanggungjawab. Kemalangan hanya menyebabkan perjalanan kita dan orang lain terganggu. Ingatlah orang yang tersayang. Jangan biarkan mereka menanti dalam tangisan. Maaf zahir batin.

 

AWANG - Tutup ‘kedai’ dua hari.