Awang amat mengharapkan PRK tersebut bukan sahaja tidak dicemari dengan elemen-elemen tidak baik yang boleh merosakkan amalan demokrasi malah diharapkan ia tidak menjadi medan untuk menabur janji palsu kepada rakyat.

Awang sudah beberapa kali ke Cameron Highlands dan amat mengetahui masalah yang sedang dihadapi oleh penduduk di kawasan tanah tinggi tersebut. Oleh itu Awang berharap PRK berkenaan akan menjadi medan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Sehingga hari mengundi 26 Januari ini, kempen perlu berlangsung secara bersih dan aman. Tidak perlu ada provokasi, fitnah memfitnah atau buruk memburuk antara satu calon dengan calon lain.

Sebaliknya bentangkanlah apa agenda masing-masing jika dipilih menjadi wakil rakyat. Kita sudah bosan dengan politik dan PRK biarpun salah satu daripada gelanggang politik tetapi ia hakikatnya medan terbaik untuk mencari wakil rakyat bagi membela nasib rakyat.

Oleh itu Awang berharap semua pihak memahami hakikat ini dan janganlah cuba mempermainkan rakyat dengan janji-janji palsu seperti mana berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. Buatlah janji yang boleh ditepati dan bukannya sebuah janji yang sedia untuk dimungkiri.

Awang – Suka bercuti di Cameron Highlands.