Bagi Awang, pelantikan tersebut adalah tepat kerana Abang Johari mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang politik dan pentadbiran. Pelantikan beliau sudah pasti akan dapat meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham.

Awang percaya rakyat Sarawak dan seluruh kepemimpinan Barisan Nasional (BN) negeri itu akan memberi sokongan padu kepada Abang Johari dalam melaksanakan satu tanggungjawab yang cukup besar terutamanya dalam memacu Sarawak menjadi negeri termaju di ­Malaysia.

Sememangnya Allahyarham Tan Sri Adenan telah meninggalkan satu legasi pentadbiran yang cukup mengagumkan. Allahyarham adalah bapa kepada seluruh rakyat Sarawak dan berjaya menyatukan mereka. Kewibawaan, karisma dan integriti Allahyarham sukar ­ditandingi oleh mana-mana ahli politik. Allahyarham dihormati oleh kawan dan lawan.

Kini Abang Johari akan memikul tanggungjawab tersebut. Berdasarkan kepada kebolehan dan pengalaman beliau, Awang percaya ia bukanlah sesuatu yang sukar, apa yang penting Sarawak perlu terus ­berada dalam keadaan stabil dan maju.

Awang – Tahniah.