Kesannya amat berbahaya kepada masyarakat Islam seluruh­nya sekiranya kegiatan itu tidak dibendung di peringkat kariah. Kadang-kadang penceramah bijak mempengaruhi jemaah supaya terlibat dengan kegiatan tidak sihat ini. Mereka mempengaruhi khalayak secara halus dengan kebijaksanaan semasa berceramah.

Pemimpin di peringkat masjid dan surau juga perlu mematuhi titah baginda supaya memastikan setiap penceramah yang dijemput mempunyai tauliah. Kedudukan atau gelaran seseorang bukanlah ‘sijil’ yang melayakkan mereka memberi ceramah.

Syarat tauliah juga bukan bertujuan menghalang percambahan ilmu tetapi bagi memastikan penceramah tidak menyemai unsur-unsur yang boleh menyeleweng, mengelirukan sehingga mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Awang sedar bukan mudah bagi imam atau nazir untuk memenuhi kehendak anak-anak kariah yang mahukan penceramah tertentu diundang sedangkan mereka tidak ada tauliah. Pegawai masjid perlu bijak dengan mengutamakan keharmonian ma­syarakat serta menjunjung titah Sultan sebagai ketua agama ne­geri. Ingatan baginda amat jelas yang bimbang dengan ceramah yang menyeleweng dan menyebarkan fahaman salah.

AWANG – Hari-hari ada kuliah maghrib.