Semua PRK melibatkan kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH). Mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada orang lain bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sistem demokrasi di negara ini. Perkara yang sama pernah dilakukan PKR di Parlimen Permatang Pauh dan DUN Kajang.

Memang benar PRK seumpama itu tidak sepatutnya diadakan kerana membazirkan wang, masa dan tenaga. Bagaimanapun itulah pilihan yang ada bagi memastikan PH dapat meme­nuhi ketetapan konsensus yang dicapai sebelum ini.

PRK itu hanyalah tiket untuk membolehkan Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri. Ia bukan medan menguji kekuatan. Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mengukur sejauh mana keupayaan Anwar dan calon lain.

Awang menunggu sama ada Barisan Nasional (BN) akan mencuba nasibnya melalui MIC. Begitu juga dengan Pas. Mungkinkah Anwar akan diberi kemenangan percuma bagi menjimatkan masa dan kos? BN pernah memulaukan PRK kerana kerusi dikosongkan akibat peletakan jawatan wakil rakyat PKR.

AWANG – Tidak layak mengundi di PD.