Pelantikan ini pastinya dialu-alukan oleh seluruh rakyat Kedah memandangkan Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah sudah tidak asing lagi bagi mereka. Ia memandangkan sebelum ini baginda adalah Raja Muda Kedah dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi menggantikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei 2014 dan memegang jawatan itu sehingga 12 Disember 2016.

Melalui pengalaman itu Awang percaya Tunku Sallehuddin akan mampu melaksanakan tanggungjawab memerintah Kedah dengan adil dan saksama serta meneruskan legasi pemerintah raja berjiwa rakyat yang sebelum ini dipelopori Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Tunku Sallehuddin disifatkan seorang raja yang berperwatakan lembut tetapi tegas. Melalui perwatakan ini Awang percaya baginda akan mampu memastikan Kedah Darulaman terus aman, makmur dan sejarah di bawah dirgahayu pemerintahan baginda.

Awang mendoakan agar Allah SWT memberkati pemerintahan baginda dan negeri Kedah keseluruhannya.

AWANG – Daulat Tuanku!