Ia memandangkan ketika ini murid turut dibebani dengan buku kerja dan buku latihan sehingga ada antara mereka terpaksa membawa buku seberat 10 kilogram ke sekolah. Keadaan itu bagi Awang sudah tentulah akan mendatangkan kesulitan kepada mereka.

Atas sebab itu Awang berharap, pihak sekolah memandang serius teguran Mahdzir kerana kita selama-lamanya tidak boleh membebankan murid-murid dengan meminta mereka membawa buku yang banyak ke sekolah.

Pihak sekolah perlu mencari jalan supaya murid-murid tidak perlu membawa pulang buku kerja atau buku latihan ke rumah. Cukup sekadar buku-buku berkenaan digunakan di sekolah sahaja.

Awang percaya pasti ada cara bagaimana untuk mengatasi masalah bebanan beg sekolah yang dibawa oleh murid-murid kerana ia bukan isu baharu. Masalah ini sudah bertahun-tahun diperkatakan.

Walaupun Awang memahami komitmen pihak sekolah untuk memberikan yang terbaik kepada murid-murid mereka tetapi dalam masa sama, bebanan yang ditanggung oleh golongan itu juga perlu diambil kira dengan memetik kata-kata Mahdzir: “...kita terlampau tekan nak bagi semua ilmu kepada murid-murid. Padat, boleh meletup (tekanan kepada murid-murid).”

AWANG – Tak suka membebankan diri.