Rakyat telah memilih. Wakil rakyat perlu memainkan peranan yang lebih positif. Sambutlah saranan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin supaya perbahasan belanjawan pertama Malaysia baharu ini berintikan idea-idea yang bernas.

Begitu juga ingatan supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghentikan menuding jari kepada kerajaan terdahulu. Pandanglah ke hadapan dengan penuh harapan. Cukuplah kita berpolitik selepas pilihan raya umum lalu. Jenguklah masalah rakyat. Dengar rintihan mereka. Jangan gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Siapa lagi jika bukan kerajaan yang menjadi harapan untuk membantu nelayan, petani, pekebun dan penternak di luar bandar? Mereka bukan meminta sedekah atau malas bekerja tetapi hilang punca pendapatan apabila tiba musim tengkujuh. Justeru bantuan khusus amat penting bagi golongan ini.

Awang berharap wakil rakyat ketika berbahas dapat menjurus kepada melihat pelbagai masalah rakyat. Banyak isu perlu diberi perhatian seperti kenaikan harga barang, pengangguran, kesihatan dan pendidikan. Tidak salah untuk mengkritik tetapi biarlah ada asas, bukan sekadar mencari silap orang lain. Uruslah negara dengan baik. Rakyat menagih janji.

AWANG - Positif, tanpa dendam.