Kempen PRU sebenarnya sudah bermula walaupun tempoh 14 hari yang menjadi kebiasaan selepas penamaan calon belum diketahui. Parti-parti politik bebas menemui rakyat secara terbuka di pentas ceramah untuk memancing undi. Mereka menjelajah ke seluruh negara untuk berkempen.

Dalam hal ini, timbul persoalan, perlukah kempen melebihi dua minggu? Kempen melalui media sosial juga lebih rancak.

Selama mana pun kempen, apa yang penting ialah parti-parti politik dapat mengawal tindak tanduk mereka. Jangan timbulkan provokasi yang boleh mencetuskan kontroversi. Patuhilah peraturan dan undang-undang walaupun kita di luar kempen PRU.

Kita tidak perlu membuang masa terlalu lama untuk berkempen kerana bimbang, kebebasan berucap boleh mencetuskan situasi yang tidak harmoni akibat provokasi.

Awang percaya, memadailah 14 hari kerana parti-parti politik sudah bersedia. Hanya bagi wakil rakyat yang lama tidak muncul di kawasan akan lebih cemas untuk menunjukkan muka. Mereka ini beransur-ansur ‘hilang’ pada tahun-tahun terakhir selepas PRU sebelumnya. Merekalah yang memerlukan lebih banyak masa berbanding wakil rakyat yang sentiasa mendampingi rakyat.

AWANG – Selalu balik kawasan mengundi.