Kebanyakan mereka berani melakukan kesalahan kerana tidak ada sesiapa yang boleh menghukum mereka. Mereka rasa selamat dan akan mengulangi kesalahan itu sehinggalah insaf setelah terlibat dalam kemalangan atau dikenakan tindakan. Begitulah sikap sesetengah penunggang yang berani mempertaruhkan nyawa semata-mata untuk mempercepatkan perjalanan.

Hakikatnya, keadaan ini bukan sahaja melibatkan penunggang motosikal tetapi juga pemandu kenderaan lain. Lebih malang apabila kes ‘langgar’ lampu merah ini berlaku di laluan untuk pejalan kaki melintas. Lampu hijau di laluan berkenaan bukan jaminan mereka boleh melintas dengan selamat.

Pemandu gelojoh tidak peduli keselamatan orang lain. Diharap­kan tindakan pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ‘memerhati’ tabiat penunggang serta pemandu lain di beberapa lokasi lampu isyarat dapat mendidik pengguna.

Awang perhatikan, pengguna lebih berhati-hati apabila sedar ada orang sedang memerhatikan mereka termasuk kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Kenderaan akan perlahan di kawasan berkenaan tetapi memecut sebaik sahaja melepasi AES. Begitulah sikap penunggang dan pemandu kita.

AWANG - Hati-hati sikap penunggang motosikal.