Walaupun yang membuat keputusan tersebut terdiri daripada nama-nama besar dalam politik Sabah, tetapi Awang yakin UMNO Sabah akan ‘bangkit semula’ dengan barisan pelapis yang jauh lebih hebat.

Awang sentiasa yakin kepada ketentuan Allah SWT bahawa setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Seperti mana kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tindakan mereka sama sekali tidak melemahkan perjuangan parti itu yang telah banyak menabur jasa kepada rakyat negeri berkenaan.

Oleh itu Awang percaya UMNO Sabah tidak akan terkubur apatah lagi terbubar. UMNO adalah parti keramat yang sedang berhadapan dengan cabaran paling hebat dalam sejarah penubuhannya.

Apa yang berlaku kepada UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sememangnya satu ujian yang cukup besar kepada pemimpin dan ahli parti itu.

Hanya mereka yang benar-benar setia dan mempunyai ‘darah UMNO’ akan terus bertahan meneruskan perjuangan biarpun bertongkat paruh sekalipun.

Justeru Awang berharap semua pemimpin dan ahli UMNO tidak perlu resah gelisah dengan apa yang berlaku di Sabah.

Sebaliknya mereka harus terus mengukuhkan kesepakatan dan tekad perjuangan kerana agenda parti itu bukannya bagi kepentingan politik mana-mana individu sebaliknya demi bangsa, agama dan negara.

AWANG – Tunggu adegan seterusnya.