Seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka mempunyai fungsi dalam tiga cabang kerajaan iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman. Begitu juga peranan sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan serta ketua agama bagi negeri-negeri yang tidak beraja.

Umpama payung yang menaungi rakyat, diharapkan baginda dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna serta menjadi rujukan dalam pelbagai perkara kepentingan bersama khususnya penyatuan ummah. Dalam situasi yang semakin mencabar hari ini, kita berharap, baginda dapat melaksanakan tanggungjawab seperti yang diamanahkan dalam sumpah jawatan.

Dikenali dalam kalangan rakyat Kelantan sebagai pemerintah berjiwa rakyat, mesra dan dihormati, rakyat tentu yakin baginda dapat memainkan peranan yang lebih besar di peringkat negara.

Awang berharap, di bawah naungan baginda, negara akan 
terus aman makmur serta rakyat pelbagai kaum dan agama hidup dalam suasana harmoni. Rakyat juga harus menumpahkan taat setia dan menjunjung institusi raja berperlembagaan ini sebagai simbolik kepada hubungan erat rakyat dan raja.

AWANG – Dirgahayu Tuanku