Ini kerana berita tentang kahwin cerai sekarang ini, hari-hari kita boleh baca dan dengar. Bukan sesuatu yang luar biasa. Pun begitu perkembangan ini sepatutnya membimbangkan semua dan menjadi panduan serta iktibar kepada pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga agar tidak mengulangi cerita yang sama.

Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), bagi Januari hingga Ogos 2016, sejumlah 38,035 pasangan bercerai akibat pelbagai sebab antaranya masalah kewangan, tidak sehaluan, kegagalan melaksanakan tanggungjawab dan tiada ­toleransi dalam hubungan suami isteri.

Bagi Awang, faktor penggunaan media sosial yang meluas turut menyumbang kepada keruntuhan rumah tangga. Berapa ramai pasangan yang telah bercerai kerana berlaku curang melalui­ aplikasi media sosial yang tujuannya disalahguna.

Yang perlu ditekankan kepada semua, perceraian adalah ibu kepada masalah sosial di negara ini. Banyak kes penderaan, ­pengabaian anak-anak, penyalahgunaan dadah dan jenayah terjadi akibat daripada perceraian.

Justeru, selain keperluan mendalami ilmu agama, Awang berharap program-program ilmu berkaitan rumah tangga perlu lebih menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi. Program mesti sampai ke golongan yang disasarkan bukan sekadar mahu mengisi ruang dewan.

 

AWANG - Sekat gejala sosial.