Walaupun ada isu yang menyentuh agama dan kaum boleh dilaporkan tetapi tindakan memberi reaksi balas secara berlebihan atau mengapi-apikan sesuatu isu boleh menggugat keharmonian.

Kerajaan sebenarnya tidak menyekat hak bersuara rakyat ter­utama dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini.

Hak bersuara ini tidak bermakna kebebasan boleh digunakan tanpa memikirkan kesan kepada masyarakat sekiranya laporan itu palsu atau berat sebelah. Tidak dinafikan kebanjiran media sosial yang begitu ‘bebas’ menyebabkan isu-isu berkaitan kaum dan agama yang sensitif dibincangkan secara terbuka di alam maya.

Lebih memudaratkan perbincangan itu membuka ruang ulasan yang pelbagai tanpa sebarang tapisan sehingga pandangan itu akhirnya mengundang kemarahan.

Awang percaya dalam hal ini, pengamal media konvensional lebih bertanggungjawab dan berhati-hati supaya berita yang dilaporkan tidak menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Kepen­tingan negara perlu diutamakan. Pemantauan terhadap media sosial perlu dilakukan. Langkah itu bukan bermakna menyekat kebebasan bersuara tetapi demi perpaduan masyarakat.

AWANG – Sensitif soal agama, kaum