Bukan kata Awang, malah seluruh rakyat mengharapkan sidang tersebut benar-benar dijadikan medan atau gelanggang bagi membahas isu-isu berkaitan rakyat dan negara yang memerlukan komitmen seluruh ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik.

Dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan pelbagai isu terutamanya peningkatan kos sara hidup rakyat adalah wajar tumpuan diberikan bagaimana mahu menyelesaikan masalah tersebut.

Rakyat tidak harus dipersembahkan dengan pertikaman lidah atau pertengkaran bermotif politik yang tidak berkesudahan setiap kali sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Cukuplah pilihan raya sudah berlalu walaupun sidang kali ini bertembung dengan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, tetapi ia bukan bermakna dewan itu perlu bertukar menjadi gelanggang politik.

Oleh itu Awang berharap ahli-ahli Parlimen akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan rakyat, bukannya terus berpolitik tanpa mengira tempat sehingga meresahkan rakyat.

Awang yakin ia tidak sukar dilakukan jika masing-masing benar-benar memahami tanggungjawab mereka di dewan yang mulia itu.

AWANG - Selamat bersidang.