Tekanan air yang rendah masih mampu dihadapi tetapi apabila sampai ke peringkat air tidak lagi mengalir, sudah tentu merisaukan. Bagi yang mengadakan majlis kenduri walaupun secara kecil-kecilan, elok lupakan sahaja pinggan mangkuk yang perlu dibasuh untuk menghidangkan makanan. Gunalah peralatan pakai buang.

Memang pelik dalam keadaan tidak ada kemarau yang panjang malahan hujan sekali sekala, penduduk masih menghadapi masalah air. Di mana silapnya? Selangor mempunyai pengalaman luas berbanding negeri-negeri lain berhubung masalah bekalan air tetapi kenapa tidak ada penyelesaiannya?

Lima punca utama yang disebut oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kelmarin jelas menunjukkan terdapat beberapa kelemahan berkaitan pengurusan dan perkhidmatan bekalan. Cukuplah. Selesaikan secara muktamad. Tidak perlulah mana-mana pihak bermain ‘tarik tali’.

Awang setuju, isu air tidak perlu dipolitikkan. Jangan me­negakkan benang yang basah atau mempamerkan keegoan dalam membuat keputusan. Kita disuruh berikhtiar kemudian bertawakal, bukan tawakal tanpa ikhtiar. Akibat kesilapan yang dilakukan, mangsanya bukan hanya orang politik tetapi rakyat lebih-lebih lagi Lembah Klang dan Selangor membawa imej Malaysia.

AWANG – Guna tali tarik naik baldi.