Begitu juga dengan binaan sementara termasuk gerai jualan tanpa kelulusan PBT. Situasi ini dapat dilihat di kebanyakan tempat yang lokasinya mungkin di tepi-tepi jalan utama atau di kawasan perumahan. Mereka ini hanya bermodal kecil.

Pada musim perayaan, banyak gerai jualan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Kebiasaannya golongan peniaga ini mengambil peluang setahun sekali dengan kehadiran perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau Deepavali.

Mereka berniaga secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan. Kadang-kadang disebabkan lokasi serta mungkin ada aduan oleh pihak tertentu, penguat kuasa mengambil tindakan meroboh gerai, merampas atau menyita barangan yang diniagakan. Akhirnya timbul salah faham dan berlaku pergaduhan.

Awang simpati melihat barangan yang diniagakan dirampas atau rosak akibat tindakan penguat kuasa. Modal musnah, hasil tidak ada. Ingatlah, peniaga-peniaga ini hanya mahu berniaga untuk tempoh beberapa hari sahaja. Mereka menjual lemang, kuih muih, minuman dan pelbagai lagi. Berilah sedikit ruang dan kelonggaran sekiranya tapak perniagaan itu hanyalah bersifat sementara dan tidak mengganggu lalu lintas.

AWANG - Tidak sekat rezeki orang.