Dalam hal ini, sudah tentu salah satu tuntutan al-Quran adalah menyeru umat Islam bersatu padu dan mengelakkan perpecahan. Malangnya, masyarakat Islam masih berpecah belah tanpa kesa­tuan agenda walaupun al-Quran menjadi rujukan bersama.

Banyak kepincangan yang berlaku dan dalam sesetengah perkara, pertelingkahan hanya disebabkan oleh perkara remeh- temeh. Di samping perbalahan sesama umat, ketika al-Quran mengajak umatnya menyayangi antara satu sama lain, ada pihak yang sanggup melakukan keganasan dan pembunuhan.

Mereka melakukannya atas nama gerakan Islam. Mereka mendakwa berjihad tetapi pendekatan yang dilakukan adalah bertentangan dengan ajaran al-Quran yang berasaskan prinsip rahmat, kemanusiaan dan keadilan.

Awang juga dukacita kerana pada Ramadan ini, negara-negara Te­luk memutuskan silaturahim dengan Qatar. Permusuhan mengambil alih semangat persaudaraan. Pemulauan tidak akan menyelesaikan sebarang masalah. Mungkin, kesannya akan lebih buruk jika pergolakan ini tidak diatasi secara diplomasi. Musuh-musuh Islam juga sentiasa mengintai peluang untuk melemahkan pengaruh Islam.

AWANG – Sertai tadarus al-Quran.