Sebab itulah Awang bersetuju dengan pandangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan yang menggesa supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi membolehkan siasatan terperinci dan telus dijalankan bagi menyiasat dakwaan pemberian hibah atau bayaran dividen oleh Tabung Haji yang bercanggah dengan Akta Tabung Haji 1995 sejak 2014.

Sememangnya kita bersetuju dengan apa juga langkah bagi membanteras penyelewengan atau ketirisan apatah lagi jika ia melibatkan institusi besar seperti Tabung Haji, tetapi apa yang perlu dielakkan, ia membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk melaksanakan agenda politik mereka.

Oleh itu, penubuhan RCI adalah langkah terbaik supaya siasatan dapat dijalankan tanpa dilihat memihak kepada mana-mana kelompok.

Awang percaya seperti mana kata Mohamad, orang Melayu dan Islam di negara ini mahu melihat kebenaran berikutan pendedahan tersebut serta pihak yang terlibat perlu bertanggungjawab.

Pada masa sama, Awang berharap pendeposit-pendeposit Tabung Haji tidak akan bertindak terburu-buru mengeluarkan simpanan mereka. Awang percaya simpanan mereka selamat dan tidak terjejas berikutan konflik ini.

Jangan bertindak tergopoh-gapah atau mempercayai khabar angin yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk menunaikan ibadah haji. Awang percaya kerajaan tidak akan membiarkan perkara buruk berlaku kepada Tabung Haji.

AWANG - Tunggu hasil siasatan.