AWANG tidak pasti sejauh mana sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul pada Rabu ini dapat mengubah fikiran Amerika Syarikat (AS) yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Ketika bantahan umat Islam seluruh dunia berterusan dan disokong juga masyarakat bukan Islam, harapan diletakkan kepada OIC dan juga Liga Arab.
Tindakan yang lebih tegas perlu dilakukan. Dalam hal ini, dunia Islam perlu menunjukkan kesepakatan mereka untuk mendesak Donald Trump menarik balik pengiktirafan yang telah mengguris hati dan perasaan umat Islam. Suara bantahan umat Islam ini juga harus dibawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Keputusan AS itu jelas melanggar hak rakyat Palestin, mencabul resolusi Majlis Keselamatan PBB dan menjejaskan proses damai. Lebih menyulitkan peluang untuk mewujudkan dua negara. AS harus sedar bahawa Baitulmuqaddis perlu kekal sebagai kota suci umat Islam selepas Mekah dan Madinah.
Awang percaya tindakan AS umpama mencurah minyak ke dalam api. Jika tidak dibendung, ia mampu membakar seluruh dunia. Tindakan itu mencabar kesabaran umat Islam dan menjejaskan politik, peraturan dan status sejarah Baitulmuqaddis. Cukuplah penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin. Amat malang, AS sanggup melayani penceroboh bumi Palestin sejak pertengahan 1967. Tindakan itu mengiktiraf pendudukan Israel di Palestin.
AWANG – Mendoakan kesejahteraan Palestin.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 05 APRIL 2018