Syukur Alhamdulillah, Seri Paduka telah selesai menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang sepanjang pemerintahan ini. Semangat tinggi baginda amat disanjung walaupun dalam ­ke­adaan kesihatan yang tidak begitu mengizinkan.

Lebih membanggakan baginda telah mencatat sejarah sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua selepas kali pertama pada tahun 1970. Ramai yang berada di bawah pemerintahan baginda. Turut menarik perhatian kerana baginda bersemayam di dua era pentadbiran yang diterajui Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan kini anaknya, Datuk Seri Najib.

Awang berharap, titah baginda di Jamuan Negara di Istana Negara baru-baru ini dijadikan pedoman dan pegangan. Baginda telah mengingatkan kita bahawa perpaduan adalah satu perkara yang amat berharga kepada negara dan tidak boleh dijual beli.

Tidak ada ertinya jika yang retak menjadi belah dan genting menjadi putus. Hargailah perpaduan. Semoga ingatan itu menjadi panduan bersama tanpa mengira kedudukan atau status kita sebagai rakyat Malaysia.

AWANG – Daulat Tuanku.