Sebagai seorang berpengalaman selok belok pentadbiran Johor dan pernah menjadi menteri besar selama dua penggal, Muhyiddin pasti memahami siapa mempunyai kata pemutus dalam hal ini.

Sebab itulah beliau berpendapat soal siapa lebih berkuasa tidak sepatutnya wujud dalam mencari pengganti Datuk Osman Sapian kerana kata beliau: “Sultan akan memutuskan berdasarkan nama yang dikemukakan parti majoriti.”

Sememangnya Undang-Undang Tubuh Johor adalah jelas dalam perkara itu. Sudah pasti keputusan yang bakal dibuat oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bukan mahu menafikan kemenangan mana-mana parti dalam pilihan raya tetapi mahu mencari calon terbaik demi kepentingan rakyat negara itu secara keseluruhannya.

Oleh itu Awang berpendapat adalah lebih baik jika semua pihak menghormati Undang-Undang Tubuh Johor dan tidak terus membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana sehingga boleh mencetuskan konflik antara kepemimpinan Pusat dan istana.

Awang percaya Sultan Johor akan membuat keputusan terbaik demi rakyat negeri itu seperti mana titah baginda kelmarin. Oleh itu hormati titah baginda.

Sama-samalah kita tunggu keputusan baginda berdasarkan senarai calon yang dihantar oleh parti-parti. Tidak perlu mana-mana pihak membuat kenyataan yang memungkinkan ada pihak menangguk di air keruh berkaitan kedudukan raja-raja.

AWANG - Tunggu pengumuman rasmi.