Kini rakan-rakan media juga mempunyai satu hari untuk dipe­ringati sama seperti beberapa profesion lain. Sebelum ini, Institut Akhbar Malaysia turut menghargai sumbangan wartawan melalui Hadiah Kewartawanan Malaysia.

Melihat kembali sejarah kewartawanan negara, tidak dinafikan pada peringkat awal sebelum merdeka, golongan ini banyak memainkan peranan dalam membentuk kemerdekaan. Mereka berjaya menyuntik semangat perjuangan dalam kalangan rakyat.

Wartawan berperanan dalam memaklumkan kepada rakyat tentang pelbagai peristiwa yang berlaku sama ada melalui akhbar, radio, televisyen dan sekarang portal berita dalam talian. Peranan wartawan kini semakin mencabar dengan adanya media sosial.

Awang bimbang profesion wartawan dicemari dengan konsep ‘sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan’. Kemajuan teknologi menyaksikan ‘tukang lapor’ di mana sahaja. Ada laporan yang boleh diterima dan ada juga yang bersifat tidak benar. Justeru wartawan yang terlatih tidak boleh terikut-ikut dengan rentak ini kerana mereka masih terikat dengan Kod Etika Kewartawanan.

AWANG – Tetap setia di Utusan.