Positifkan diri dalam mengharungi cabaran semasa. Jika dulu ada budaya sikap yang kurang mahu berdaya saing, perbaikilah dan semarakkan dengan azam.

Dalam menghadapi peningkatan kos hidup hari ini, setiap orang perlu memainkan peranan mencorakkan sisi kehidupan. Amalkan perbelanjaan berhemat bermula daripada unit keluarga masing-masing bagi memastikan kestabilan kewangan keluarga.

Awang terpanggil membangkitkan hal ini sebagai menyahut saranan kerajaan supaya rakyat bersama-sama membuat pe­ngorbanan ketika negara berdepan dengan kemelut hutang dan si­tuasi ekonomi yang kurang menyenangkan.

Sistem nilai kerja keras, jujur dan disiplin adalah kunci untuk berjaya.

Teringat Awang dengan kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dulu bahawa ‘mengubah karakter orang Melayu adalah tugas yang amat sukar’. Bagaimanapun, beliau tetap berjaya mengubah cara berfikir dengan banyak juga orang Melayu kini sudah berjaya.

Sama ada suatu hari orang Melayu bersedia membuang ‘tongkat’ yang diberikan oleh kerajaan sejak sekian lama, segalanya terletak kepada komitmen diri untuk berubah - kerana bantuan itu tidak akan berkekalan. Yang penting, mesti berdikari dan membina kecekapan untuk maju.

AWANG – Percaya pada merit, kebolehan.