Awang pun terfikir, setiap kali tewas dalam perlawanan bola sepak tidak kira di dalam negara atau luar negara, mengapa habis semua jurulatih, pengendali atau presiden kelab diminta letak jawatan. Sedang­kan pemain-pemain yang menyebabkan kekalahan itu, seolah-olah terlepas daripada segala kritikan dan kutukan. Semua kemarahan difokuskan kepada pihak yang tidak bermain.

Dalam hal ini, Awang berpendapat Ahmad Bashah tidak perlu tunduk dengan desakan pihak tertentu untuk melepaskan jawatan dalam KFA. Beliau pun sudah membawa Kedah menjadi juara dalam Piala Malaysia 2016, Piala Sumbangsih, Piala FA dan layak ke final Piala Malaysia tahun ini. Bukan beliau tidak membawa sebarang pencapaian dan banyak peruntukan juga disalurkan kepada pasukan itu.

Justeru, betullah pertanyaan - Apa lagi penyokong Kedah mahu? Pada Awang, hal-hal pembangunan sukan ini tidak perlu dipolitikkan. Kita mahu menyaksikan satu perlawanan bola sepak yang cantik dan bersih. Kenapa mahu babitkan agenda politik pula? Penyokong-penyokong bola sepak pun sepatutnya dapat membezakan antara padang bola dan pentas politik.

AWANG - Orang Selangor.