Semua pihak diharap dapat menghormati suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui proses pengundian. Terimalah keputusan dengan hati terbuka. Ketika para pemimpin politik yang menang melakukan peralihan bagi membentuk Kerajaan Pusat dan negeri, rakyat pula harus menyokong untuk memastikan negara terus stabil.

Rakyat terutama penyokong parti perlu bertenang. Hindari tindak tanduk yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Raikan kemenangan dengan semangat perpaduan bukannya cuba menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan rakyat. Ini negara kita. Masa depan negara tidak harus diabaikan. Ketepikan perbezaan bagi memulakan sesuatu yang baharu.

Tahniah juga kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertungkus lumus mengendalikan pilihan raya ini dengan baik.

Awang sedar walaupun berhadapan dengan pelbagai tohmahan termasuk kelewatan mengumumkan keputusan, SPR dapat memastikan proses itu telus dan lancar. SPR begitu teliti sebelum membuat pengumuman supaya apa yang diputuskan tidak dipertikaikan. Kemenangan besar Pakatan Harapan juga membuktikan Barisan Nasional (BN) tidak mempengaruhi tugas-tugas SPR .

AWANG - Muhasabah.