Menjelang Hari Raya Aidilfitri, permintaan terhadap bekalan makanan terutama bagi barang tertentu akan menjadi lebih tinggi. Timbul kebimbangan, peniaga akan mengambil kesempatan untuk memanipulasi harga barang ini. Pelbagai alasan akan diberikan oleh peniaga bagi menghalalkan tindakan mereka menaikkan harga barang keperluan.

Kementerian boleh memberi jaminan harga barangan keperluan dan makanan berpatutan dan kompetitif terutama di pasar tani seluruh negara. Bagaimanapun pasar tani juga masih perlu dipantau supaya harga yang ditawarkan benar-benar berpatutan. Pada masa sama, harga barangan juga perlu dikawal di pasar-pasar lain yang tidak mempunyai ruang seperti pasar tani.

Awang berharap, ketika Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memainkan peranan untuk menyediakan bekalan pada harga yang berpatutan, sokongan penguat kuasa lain juga penting. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu lebih kerap membuat pemantauan. Pengguna tidak harus dibebankan dengan tindakan peniaga yang mengambil kesempatan pada musim perayaan ini.

AWANG – Cari daging lembu tempatan.