Operasi itu memang sulit. Penyelamat terpaksa menyelam di dalam gua, bukannya di dasar sungai atau laut. Kepakaran amat diperlukan disebabkan kedudukan atau keadaan gua berkenaan. Kegigihan tanpa mengenal putus asa, akhirnya pasukan yang turut melibatkan penyelamat asing itu telah mencapai kejayaan.

Difahamkan, masyarakat setempat juga memberi pelbagai bantuan bagi menyokong misi menyelamat itu. Dalam erti kata, mereka tidak sekadar menjadi penonton sebaliknya mempunyai peranan masing-masing dalam menghadapi situasi sukar itu.

Semangat kerjasama inilah yang perlu ada dalam masyarakat. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Semoga insiden itu dapat memupuk semangat kerjasama merentasi sempadan dengan niat untuk menyelamatkan nyawa manusia.

Awang juga percaya, insiden ini dapat dijadikan iktibar kepada pasukan penyelamat negara. Walaupun tidak terlibat dalam operasi itu, mereka perlu dilengkapkan dengan pelbagai latihan dan kemahiran. Bersedialah untuk menghadapi sebarang kemungkinan kerana Malaysia juga mempunyai gua yang sering diterokai serta terdedah kepada risiko yang sama.

AWANG - Sekadar menyelami perasaan.