Seperti mana ditegaskan oleh Perdana Menteri, pilihan raya PBT jika adakan boleh menghasilkan keputusan yang salah antara bandar dan luar bandar, oleh itu Awang tertanya-tanya kenapakah DAP begitu beria-ia benar mahu mengadakan pilihan raya tersebut?

Kalaulah ia dikatakan sudah termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan, Awang berpendapat, berlambak-lambak lagi janji kerajaan di dalam manifesto tersebut yang tidak ditunaikan.

Justeru tidak payahlah mana-mana parti mahu menegaskan bahawa mengadakan pilihan tersebut adalah perjuangan mereka sekian lama. Ia bukannya soal perjuangan tetapi apa yang perlu difikirkan, apakah faedahnya kepada rakyat secara keseluruhannya.

Apa yang lebih penting kepada kerajaan sekarang ialah menunaikan janji-janji dalam manifesto terutamanya melibatkan usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat dan membantu golongan petani, nelayan, pekebun kecil serta peneroka Felda yang semakin dihimpit masalah pendapatan berkurangan.

Awang berharap kerajaan akan dapat menilai yang mana satu mahu diutamakan. Pilihan raya itu kalau mahu diadakan boleh sahaja selepas semua masalah kehidupan rakyat ditangani dan janji-janji lain dalam manifesto ditunaikan.

Tidak perlulah kerajaan membuang masa atau mengeluarkan peruntukan kepada satu perkara yang belum tentu dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhan. Menang pilihan raya bukan bermakna perjuangan sesebuah parti itu dalam sesuatu perkara wajib ditunaikan, apatah lagi kalau ada pihak mentafsirkan terdapat agenda tersirat di sebaliknya.

AWANG – Tak suka mungkir janji.