Lazimnya hari mengundi jatuh pada hujung minggu tetapi bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sejarah PRU, pengundian diadakan pada ‘hari bekerja’. Beberapa kali PRU berlangsung pada Isnin dan Khamis. Jika ada yang terpaksa bekerja, para majikan bertanggungjawab untuk membenarkan pekerja mereka keluar mengundi. Maka tidak ada isu berkaitan hari mengundi ini.

Begitu juga dengan tempoh kempen selama 11 hari yang dianggap memadai untuk parti-parti politik ‘memancing undi’. Semua parti sebenarnya telah mengadakan kempen tidak rasmi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jentera PRU sudah digerakkan.

Dalam erti kata lain, parti-parti politik sudah lama bersedia. Berdasarkan situasi semasa juga termasuk kemajuan teknologi serta perhubungan yang baik, tempoh kempen tidak perlu terlalu lama. Pelbagai maklumat dan bahan kempen kini di hujung jari.

Awang bimbang kempen yang terlalu lama boleh menimbulkan masalah lain. Sebelum ini, ada PRU yang hanya berkempen lapan atau sembilan hari. Tempoh kempen yang panjang bukanlah jaminan untuk parti atau calon memenangi pilihan raya. Rakyat lebih tahu peranan serta tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan yang benar-benar mampu memenuhi impian mereka.

AWANG - Menunggu hari penamaan calon.