Mangsa yang menjawab panggilan akan cemas lebih-lebih lagi jika 'agensi’ berkenaan mempunyai hubung kait dengan siasatan dan pendakwaan salah laku rasuah, tindakan mahkamah atau kesalahan trafik.

Sindiket bijak mengambil kesempatan situasi semasa sehingga menimbulkan rasa cemas dan panik. Orang ramai tidak seharusnya terpedaya kerana penyamaran berbentuk ugutan ini bertujuan memerangkap mangsa supaya memberi pelbagai butiran peribadi.

Adalah lebih baik orang ramai menghubungi pihak berkuasa berkenaan bagi mendapatkan kesahihan berhubung dakwaan yang berkaitan. Agensi-agensi tersebut menyediakan pelbagai kemudahan untuk membuat semakan.

Selain polis dan SPRM, modus operandi panggilan palsu yang dikategorikan sebagai 'Macau Scam' ini turut melibatkan cabutan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, serta penyamaran sebagai pegawai Bank Negara Malaysia atau bank komersial.

Awang percaya ramai yang telah menerima panggilan seumpama ini. Mereka berhak untuk mencurigai mana-mana pihak yang tidak dikenali yang meminta maklumat peribadi. Ingatlah individu atau kumpulan yang melakukan perbuatan itu hanya ingin mendapat keuntungan segera dengan menakut-nakutkan mangsa.

AWANG – Terima panggilan misteri.