Kenyataan Ketua Perangkawan Malaysia, Dr. Mohd. Uzir Mahidin semalam bahawa pendapatan isi rumah bulanan purata bagi Malaysia pula meningkat 6.2 peratus kepada RM6,958 pada 2016 daripada RM6,141 semasa 2014 memberi harapan untuk rakyat meredah cabaran ekonomi semasa tahun ini.

Ini jelas petanda kejayaan kerajaan dalam menggalakkan pembinaan landasan ekonomi yang kukuh melalui pelebaran pembangunan di kawasan bandar bagi memenuhi kepesatan urbanisasi.

Peningkatan pendapatan di luar bandar antara lain disumbangkan melalui usaha Kerajaan Persekutuan menyediakan pelbagai infrastruktur selain penawaran program dan skim yang boleh menjana pendapatan penduduk.

Lebih melegakan lagi apabila Mohd. Uzir menyatakan pendapatan isi rumah bulanan purata bagi kumpulan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) merekodkan kadar pertumbuhan tahunan tertinggi.

Iaitu 6.9 peratus kepada RM6,502 pada 2016 daripada RM5,662 pada 2014 - setidak-tidaknya menafikan desas-desus yang dimomokkan pihak tertentu kononnya negara di ambang kebankrapan.

AWANG - Praktik perbelanjaan berhemat.