Perpaduan negara akan terjejas sekiranya toleransi hilang dalam jatidiri masyarakat. Kekecohan boleh tercetus dan kemudiannya disalah tafsir oleh pihak-pihak yang sengaja mahu mencari penyebab untuk membenci orang lain.

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada hari ini, kekecohan yang kecil boleh bertukar menjadi besar sebaik sahaja berita itu tular di media sosial. Lebih parah jika ada pihak yang sengaja ‘mencurah minyak dalam api’ ketika memberi komen negatif terhadap berita berkenaan.

Semua pihak bertanggungjawab memperkukuhkan hubu­ngan antara kaum dan agama. Jika mereka gagal memahami sikap toleransi dan perpaduan, maka terjadilah pelbagai insiden yang tidak diingini walaupun puncanya kecil dan boleh ditangani.

Awang berharap, pihak kerajaan akan terus menyusun pelbagai program bagi mempromosikan budaya hormat-menghormati ini. Majoriti rakyat masih cintakan keamanan dan kedamaian tetapi akibat ‘nila setitik rosak susu sebelanga’. Maklumat negatif yang boleh menyakitkan hati akan mengundang kebinasaan. Hentikanlah komen sinis yang boleh mencetuskan kemarahan.

AWANG - Sebar maklumat positif