Selain itu, Awang juga tertanya-tanya di manakah maruah politik Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila manifesto tersebut turut me­ngandungi janji untuk menghapuskan tol - satu legasi yang di­tinggalkan oleh beliau ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Begitu juga dengan janji untuk melaksanakan skim bantuan kewangan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang selama ini dianggap oleh Dr. Mahathir sebagai rasuah dan ‘dedak’.

Awang juga tidak melihat apa-apa yang menarik atau ‘menggemparkan’ yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan yang kini begitu bernafsu untuk memerintah Malaysia dengan menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun Awang yakin manifesto tersebut tidak akan mampu membuatkan rakyat tertarik kerana ia sekadar janji-janji manis untuk menarik undi. Ini kerana Pakatan Harapan sememangnya sudah terkenal sebagai ‘saudagar mimpi’.

AWANG - Sentiasa tepati janji.