Sebarang tindakan susulan diharap tidak menimbulkan ketegangan yang lebih buruk. Masyarakat juga diharap tidak menggunakan media sosial untuk mensensasikan isu diplomatik ini dengan menyebarkan gambar atau video yang boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan orang ramai.

Walaupun sesetengah mesej yang ingin disampaikan berbentuk gurauan tetapi soal hubungan diplomatik ini tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka. Jangan sesekali menyelewengkan fakta berkaitan isu ini dengan menyebarkan perkara yang tidak benar.

Sambil usaha dilakukan oleh pelbagai pihak bagi merungkai permasalahan ini, rakyat Malaysia juga diharap terus mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat kita di sana. Walaupun jaminan keselamatan itu ada tetapi keluarga terdekat sudah tentu akan terus diselubungi kebimbangan.

Dalam hubungan ini, Awang juga berharap, masjid-masjid di seluruh negara dapat mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat hari ini bagi mendoakan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara serta memohon agar ketegangan ini dapat diselesaikan dengan baik. Semoga ikhtiar dan doa kita dapat membantu.

AWANG - Doakan yang terbaik.