Diharapkan kod yang dikemukakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) itu dapat mewujudkan semangat kerjasama atau persefahaman yang lebih erat melibatkan semua pihak ke arah membentuk insan yang berilmu.

Sesuatu yang menarik mengenai kod ini adalah ibu bapa dan penjaga perlu merujuk kepada pengetua atau guru besar terlebih dahulu sekiranya mempunyai sebarang masalah dengan guru-guru berkaitan anak mereka. Laporan polis adalah langkah terakhir. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang lebih aktif melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Harus diakui bahawa masalah disiplin di sekolah-sekolah semakin mencabar dan perlu ditangani secara berhemah. Ingatlah bahawa sebarang kes melibatkan pelajar yang dibawa ke mahkamah akan memberi kesan bukan sahaja kepada pihak sekolah dan guru tetapi juga pelajar serta ibu bapa.

Awang percaya pihak sekolah cuba menangani masalah disiplin dengan sebaik mungkin tetapi ada ketikanya, cara guru bertindak menimbulkan keresahan ibu bapa. Tidak ada guru yang dengan sengaja sanggup mengambil tindakan sehingga mencederakan anak didiknya. Kadang-kadang ada yang hilang pertimbangan dan jika ini berlaku, kembalilah ke meja rundingan.

AWANG - Patuh kod etika kerja.