Terima kasih kepada semua peserta kerana bukan sahaja sudi hadir tetapi juga memastikan perhimpunan berlangsung secara aman. Tiada sebarang unsur-unsur provokasi atau tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan.

Semua pihak menghormati dan menghargai hak demokrasi yang diberikan oleh kerajaan dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang ditetapkan. Sampah sarap pun tidak ada yang bersepah malah tiada adegan mahu buat khemah atau tidur di jalanan seperti sesetengah perhimpunan.

Ratusan orang Melayu datang membawa satu semangat iaitu solidariti ummah dan melontarkan isyarat bahawa mereka mampu bangkit dan bersatu jika ada cubaan mahu menggugat apa sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Awang yakin kaum-kaum lain yang tidak menyertai perhimpunan itu juga berterima kasih kerana semuanya aman, biarpun ada kelompok kurang cerdik menasihatkan penduduk di perumahan tertentu jangan keluar rumah.

Awang percaya orang Melayu tidaklah sebodoh itu mahu melakukan tindakan yang boleh menghuru-hara negara.Mereka hanya mempraktikkan hak dalam amalan demokrasi iaitu boleh berkumpul secara aman bagi menzahirkan pandangan masing-masing.

Sebab itulah perhimpunan tersebut berjalan lancar dan peserta bersurai lebih awal daripada tempoh yang dibenarkan. Namun begitu Awang berharap selepas ini akan ada lagi perhimpunan yang membuktikan orang Melayu boleh bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam mempertahankan hak mereka dalam Perlembagaan.

Pada masa sama kepada pihak-pihak tertentu yang beranggapan orang Melayu sudah lemah, jadikanlah #DaulatHimpunan812 sebagai isyarat, jangan melampaui batas biarpun ada kuasa.

Awang – Menanti kejutan politik akhir tahun